6 penyelam bomba lemas berpunca daripada....
PUCHONG: Operasi menyelamat seorang remaja yang dilaporkan tergelincir, ketika memancing di lombong dekat sini malam tadi, bertukar tragedi apabila enam penyelam bomba yang terbabit dalam pencarian itu, lemas akibat terbelit tali di dasar.
Kejadian
itu dipercayai berpunca daripada pusaran arus deras berpunca daripada
hujan lebat yang mengalir ke kawasan tumpuan operasi yang sedang
dijalankan oleh anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari Balai
Bomba dan Penyelamat Pelabuhan Klang serta Shah Alam itu.
Ketua
Polis Daerah Sepang Asisten Komisioner Abdul Aziz Ali, berkata ketika
kejadian kira-kira jam 9.15 malam itu, enam penyelam berkenaan baru lima
minit berada dalam air, bagi menjejaki seorang remaja berusia 17 tahun,
yang dilaporkan terjatuh ke lombong itu jam 5 petang semalam.
"Namun,
secara tiba-tiba datang arus deras menyebabkan semua mangsa terbelit
tali yang dipasang di antara satu sama lain, yang dipercayai menjadi
punca peralatan menyelam dipakai mereka tertanggal," katanya ketika
ditemui di lokasi kejadian.
Abdul
Aziz berkata, menyedari detik cemas yang dialami oleh rakan sepasukan
itu, beberapa anggota bomba yang berada di tebing, berusaha menarik tali
yang mengikat semua mangsa, namun tidak berjaya kerana berdepan tekanan
arus yang terlalu kuat.
Katanya,
selepas berusaha selama kira-kira 30 minit, mereka berhasil menarik naik
mangsa yang pertama, sebelum disusuli yang lain.
"Bagaimanapun, ketika dibawa naik ke tebing, semua anggota penyelam berada dalam keadaan tidak sedarkan diri.
"Anggota
paramedik yang berada di lokasi ketika itu turut cuba memberi rawatan
kecemasan termasuk bantuan pernafasan (CPR) selama 30 minit, namun semua
mangsa tidak memberi sebarang tindak balas sebelum disahkan meninggal
dunia," katanya.
Abdul Aziz berkata,
mayat semua mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat dan
masa sama keluarga mangsa turut dimaklumkan mengenai kejadian itu.
Anggota
bomba yang terkorban ketika bertugas itu terdiri daripada Mohd Fatah
Hashim, 34; Izatul Akma Wan Ibrahim, 32; Mazlan Omarbaki, 25; Yahya Ali,
24; Adnan Othman, 33, dan Muhammad Hifdzul Malik Shaari, 25.
Menteri
Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin menziarahi jenazah
enam anggota bomba berkenaan di Hospital Serdang jam 12.30 tengah malam
ini.
Sementara
itu, Abdul Aziz berkata, operasi mencari remaja yang hilang buat masa
ini ditangguhkan ekoran cuaca gelap dan akan disambung pada pagi ini.
"Buat masa ini, remaja yang hilang itu masih belum dijumpai dan operasi mencarinya akan disambung jam 8 pagi nanti.
"Operasi pagi nanti akan dijalankan secara bersama oleh bomba dan Pasukan Polis Marin Pelabuhan Klang.
- BH -
Comments
Post a Comment